
Pasar Besar Gombak bakal berubah wajah
KUALA LUMPUR: Pembangunan semula Pasar Besar Gombak dengan konsep serba moden dan dilengkapi pelbagai kemudahan bakal mengubah landskap bangunan yang kini berusia lebih 30 tahun. Pasar baru itu nanti akan membabitkan bangunan komersial setinggi sembilan tingkat dengan penempatan kedai; lot perniagaan; pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); pejabat kesihatan; surau dan dewan serba guna.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata ini satu lagi inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan untuk membantu peniaga pasar terbabit dengan pembinaan semula bangunan yang kelihatan sudah pun uzur. Katanya, melihat kepada sejarah Pasar Gombak yang mula beroperasi sejak 1985, sudah tentu ia mempunyai nilai yang cukup bermakna bagi masyarakat setempat dan peniaga.
“Pasar ini dulunya aktif semasa 10 ke 15 tahun pertama ia dibuka. Namun, selepas itu kegiatan perniagaan semakin menurun. “Justeru, kita tidak boleh membiarkan kawasan ini terus tenggelam daripada pembangunan dan dibiar hanyut dari arus pemodenan.
“Oleh itu, pembangunan semula Pasar Besar Gombak ini bertepatan dengan visi dan misi kerajaan bagi menaikkan taraf hidup serta meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), di Pasar Gombak.
Projek bernilai RM268 juta itu akan dibangunkan oleh syarikat pemaju, AlmaVentures Sdn Bhd.
Tengku Adnan juga berkata, peniaga di pasar terbabit akan diberi pembayaran ex-gratia sementara menunggu projek pasar baru dibangunkan di tapak terbabit. Bagi menambah nilai kepada projek itu, beliau berkata, satu blok kediaman RUMAWIP akan dibina bersebelahan dengan ketinggian 44 tingkat.
“Pemaju mencadangkan projek RUMAWIP ini dikenali sebagai Residensi Inspiria. Terdapat 900 unit dengan keluasan 815 kaki persegi. “Sejak RUMAWIP dilaksanakan pada 2013, kita berjaya mencapai 70,292 unit daripada sasaran keseluruhan 80,00 unit yang ditetapkan menjelang 2020. “Rebutlah peluang ini, sementara kerajaan masih bina kediaman mampu milik di ibu kota,” katanya.
Residensi Inspiria dijual dengan harga RM298,000 seunit dan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air berserta satu tempat letak kereta. Pembinaan ini merangkumi kemudahan tadika, gelanggang badminton dan pondok pengawal bertujuan memberi keselesaan kepada penduduk.
Berita Harian Online, 8 November 2017
